10 Tahun


Hari ini 10 tahun yang lepas, aku melangkah masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat kali pertama. Buat kali pertama juga aku terlajak Subuh sebab matahari di sana terbit awal sejam dari di Semenanjung.

Namun yang lebih penting, 23 Mei 2002 adalah tanggal pertemuan kali pertama aku dengannya. Dialah orang pertama yang menyapa kami (aku dan ibubapaku) di UMS, sedang kami terpinga2 mencari hala tuju. Siapa sangka, pertemuan kami tidak berakhir setakat di situ.

Beberapa bulan berikutnya kami menjadi semakin rapat. Mulanya sebagai adik dan kakak angkat, tapi lama-kelamaan berputik perasaan yang lebih indah.

Kini, setelah 10 tahun berkenalan, kami hidup bahagia sebagai suami isteri, dan hubungan kami diserikan dengan kehadiran Liz Chenta Zulaikha, puteri sulung kami.

Semoga hubungan ini berkekalan hingga ke syurga. Amin.