Kenapa Aku Tak Tonton Filem Rempit dan Bohsia

Aku ada satu pengakuan: Semasa sekolah dulu aku pernah membaca novel lucah. Aku tak beli, dan aku tak ingat siapa punya, tapi memang aku pernah baca. Malah, aku pernah kena rotan kerana entah siapa yang buka loker aku dan ambil komik lucah kawan aku yang aku pegang.

Aku bukan nak bercerita tentang perkara tersebut. Malah, aku dah lama tak baca novel-novel macam tu. Zaman itu sudah berlalu.

Cuma, baru-baru ini ada orang bertanyakan aku kenapa aku tak berminat nak tengok filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (Bohsia)? Jadi, ini penjelasan aku.

Memang aku suka tengok wayang, namun aku agak memilih. Tak kiralah tempatan, atau dari negara lain. Aku cuba mengelak dari keluar panggung dengan hati yang menyumpah-nyumpah. Sebab itu aku mengelak dari filem-filem Prof Razak Mohaideen. Aku tak boleh terima cara penceritaan dia. Cliche dan murahan pada pandangan aku.

Tapi Bohsia, Remp-it bukan Prof punya. Tapi itu pun aku tak boleh nak terima. Kenapa? Sebab aku samakan kedua-dua filem ini dengan novel lucah yang aku cerita tadi. Bukan kerana kedua-dua cerita ini ada adegan lucah, tapi kerana bagi aku, filem-filem sebegini menyorokkan adegan-adegan negatif disebalik “mesej”. Samalah dengan novel-novel lucah yang aku baca dulu (sekarang aku tak pasti, tapi rasanya masih dijual).

Bagi yang tak pernah membaca novel lucah, biar aku terangkan. Sama ada novel tersebut adalah kompilasi beberapa cerita atau satu cerita yang panjang, konsepnya rata-rata serupa. Permulaannya menceritakan latar belakang watak utama, contohnya tentang seorang gadis kampung yang naif tapi kuat nafsu. seterusnya, akan diceritakan pula bagaimana dia berkenalan dengan watak utama yang kedua (cerita lucah mesti la ada sekurang-kurangnya 2 orang. Kalau seorang saja, tak pernah pula aku jumpa). Selepas itu diceritakan ringkas akan perjalanan kedua-dua watak hingga membawa mereka ke babak seks.

Adegan-adegan seks ini la intipati utama dalam novel tadi. Boleh memakan sehingga 90% ketebalan buku. Ada yang berani menceritakan dengan terperinci. Ada juga yang memberikan gambaran-gambaran saja, namun cukup untuk si pembaca berimaginasi.

Kemudian, cerita tersebut akan diakhiri dengan adegan watak utama menyesal, sama ada dengan sendiri atau akibat sesuatu yang berlaku. Namun, kadang-kala akan ada kesinambungan dalam cerita berikutnya, tapi dalam format yang serupa.

Kalau anda sudah menonton Remp-it dan Bohsia (aku dah tonton Remp-it sedikit sebanyak, tapi belum menonton Bohsia), sila terangkan adakah format di atas digunakan? aku perasan dalam Remp-it formula novel lucah ni digunakan. Dikatakan ada mesej, bahawa siapa-siapa yang berlumba haram akan menerima padahnya. Tapi fikirkanlah. Bahagian mana dalam filem itu yang memberi kesan mendalam? Bila hero itu mati di akhir cerita (maaf, spoiler), atau setiap kali hero itu berlumba dengan hebat?

Mungkin ada yang ingin menuding aku memilih bulu. Cerita tempatan aku tempelak, cerita luar yang serupa aku suka. In my defense cerita luar lebih jujur. Mereka tidak perlu terikat sangat dengan nilai-nilai ketimuran, maka jika ada pun moral, ia tidak dijadikan tiket untuk mendapatkan rating G (General atau Umum) atau PG (Parental Guidance atau bimbingan penjaga). Malah, ada yang sengaja ingin mendapatkan rating R (Restricted atau terhad) untuk menarik perhatian golongan dewasa.

Kalau filem Wolverine yang tak nampak darah dan membosankan itu pun boleh mendapat rating PG13, Remp-it yang memang menjadi hero warga mat rempit boleh mendapat Rating U, mungkin semata-mata kerana ‘mesej’ yang ingin disampaikan? Dan kini, Bohsia juga ingin menggunakan taktik yang sama (namun ia tetap mendapat rating 18PL). Memang kutipan amat tinggi, kerana (mengikut kawan-kawan aku yang dah menonton di panggung) penonton-penonton rata-ratanya adalah dari golongan yang hampir dengan subjek. Kalau tak percaya, suruh pawagam sediakan tempat letak topi keledar di luar panggung, dan lihat sendiri berapa ramai mat-mat motor (dan mungkin juga ada mat rempit dan bohsia juga) yang menonton.